spot_img
HomeSarawakBintuluBina Masa Depan Sarawak Melalui Aspirasi UPMS

Bina Masa Depan Sarawak Melalui Aspirasi UPMS

Pada tanggal 30 Jun 2025, sebuah lembaran baharu tercatat dalam sejarah pendidikan tinggi negeri Sarawak di mana Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah dijenamakan semula sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Ini merupakan satu penjenamaan yang bukan sahaja melibatkan perubahan nama, tetapi membawa erti mendalam terhadap masa depan pendidikan, pertanian, makanan dan pembangunan wilayah di Bumi Kenyalang.

Perubahan ini lahir pada saat Sarawak sedang mengorak langkah untuk menjadi pengeluar bersih makanan menjelang 2030, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

UPMS hadir sebagai tunjang akademik, penyelidikan dan inovasi dengan membawa semangat universiti rakyat Sarawak demi menjayakan aspirasi besar ini.

Dengan biodiversiti tropika, keunikan budaya dan keperluan luar bandar yang tersendiri, universiti ini mahu membina ekosistem ilmu yang benar-benar memahami denyut nadi negeri ini.

Naib Canselor Universiti Putera Malaysia (UPM), Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah ketika ditemu bual RAKAN Sarawak menegaskan bahawa isu utama pendidikan tinggi ialah keupayaan menyesuaikan diri dengan keperluan industri.

Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Beliau menjelaskan bahawa ada kalanya program akademik diperkenalkan secara tergesa-gesa, namun apabila graduan menamatkan pengajian, keperluan industri telah berubah dan kemahiran tersebut tidak lagi diperlukan.

Justeru, setiap perancangan harus dilaksanakan dengan penuh berhati-hati agar kepakaran yang dibangunkan benar-benar relevan serta mampu memenuhi tuntutan semasa.

Pendekatan ini diterjemahkan melalui strategi ‘lifelong learning’, yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pelajar baharu, tetapi turut merangkumi pekerja industri, komuniti tani, dan usahawan desa agar sentiasa bersedia serta berdaya tahan dalam menghadapi arus perubahan teknologi.

Inilah keunikan UPMS, yang menawarkan pendidikan formal, kursus profesional, hingga program retooling untuk golongan petani, jelas beliau.

Tambah beliau, Kerajaan Sarawak turut mengiktiraf UPMS sebagai rakan strategik yang penting dalam merealisasikan agenda transformasi pendidikan di wilayah ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), YB Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom pernah menegaskan bahawa universiti ini berperanan sebagai pemacu utama transformasi pendidikan luar bandar.

Beliau menekankan bahawa Sarawak memerlukan sebuah institusi yang bukan sahaja mendidik, tetapi juga mampu melahirkan inovasi dalam pendekatan pertanian dan makanan di Bumi Kenyalang.

Antara inisiatif yang dirancang ialah cadangan penubuhan kampus satelit di Gedong, sebuah kawasan jelapang padi yang bakal menjadi pusat latihan agropreneur, petani moden dan program pembangunan kapasiti belia tani.

Selain itu, kerjasama strategik dengan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lawas melalui Memorandum Persefahaman (MoU) terkini membuka ruang kepada penubuhan pusat bersama antara UPMS dan CENTEXS.

Pusat ini memberi tumpuan kepada bidang teknikal seperti penternakan kerbau, industri keju, dan industri desa bagi memperkukuh keterjaminan makanan negeri.

Dalam usaha membina masa depan, negara berdepan cabaran besar iaitu penuaan tenaga kerja tani, malah menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024, Malaysia mencatatkan purata umur petani tertua di Asia Tenggara.

Persoalannya, siapakah yang akan mewarisi ilmu pertanian serta memastikan keterjaminan bekalan makanan dapat dikekalkan, ujar beliau.

Oleh sebab itu, UPMS terpanggil untuk menutup lompang tersebut melalui agenda “Pertanian Untuk Rakyat (PUTRA)”, yang berhasrat melahirkan graduan muda dengan pandangan bahawa pertanian merupakan kerjaya masa depan.

Beliau menegaskan bahawa tanpa perubahan persepsi belia, kelangsungan negara akan terjejas, justeru mereka perlu dibentuk sebagai agropreneur yang celik teknologi.

Malah, setiap kolej kediaman di UPMS diwajibkan menghasilkan hasil pertanian sendiri sebagai simbolik bahawa ilmu pertanian mesti bermula dari komuniti universiti.

Dalam pada itu, Pengarah UPMS, Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini menjelaskan bahawa antara aspirasi besar yang sedang digerakkan oleh UPMS ialah penubuhan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan pertama di Sarawak.

Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini ketiak ditemu bual RAKAN Sarawak

Langkah ini timbul daripada keperluan mendesak memandangkan Malaysia kini berdepan kekurangan doktor veterinar, dengan hanya sekitar 100 hingga 120 graduan baharu dilahirkan oleh UPM setiap tahun.

Di Sarawak, situasi lebih mencabar kerana ketika ini hanya terdapat 15 doktor veterinar tetap di seluruh negeri.

Mereka bukan sahaja perlu merentas kawasan yang luas, malah ada yang terpaksa menaiki helikopter atau sampan semata-mata untuk sampai ke ladang-ladang pedalaman.

“Jika dibandingkan dengan Brazil yang memiliki lebih 4,000 doktor veterinar, kedudukan kita masih jauh tertinggal,” tegas beliau.

Oleh itu, UPMS mahu melahirkan bukan sahaja doktor veterinar, tetapi juga tenaga separa profesional melalui program diploma untuk mengisi ekosistem kesihatan haiwan negeri.

Sekolah ini diharap menjadi nukleus baharu bagi Sarawak dan Sabah, dengan matlamat utama menjaga keselamatan makanan serta menyokong industri ternakan.

Dengan penawaran program baharu, kursus pendek dan kolaborasi bersama syarikat tempatan, kini pelajar berpeluang menjadi pencipta perubahan dan bukan sekadar pencari kerja.

Kewujudan UPMS bukan sekadar memberi impak kepada pendidikan, tetapi turut menjadi enjin pembangunan sosioekonomi setempat.

Perniagaan kecil berkembang, peluang pekerjaan meningkat, dan wujud lonjakan nilai dalam sektor berkaitan pendidikan.

Lebih penting lagi, universiti ini berperanan sebagai jambatan antara penyelidikan dan komuniti untuk memastikan ilmu yang dihasilkan tidak terhenti di makmal semata-mata, tetapi sampai ke sawah padi di Gedong hingga ke dusun rakyat melalui projek agrobioteknologi tropika

UPMS kini bukan lagi sekadar cawangan kampus induk, sebaliknya sebuah entiti dengan identiti sendiri, lahir daripada keperluan Sarawak dan berakar pada aspirasi rakyatnya.

UPMS harumkan nama institusi di Forum Integriti Piala Premier Sarawak 2025 dengan Naib Johan

Dengan kerjasama Kerajaan Sarawak, agensi teknikal dan industri, UPMS bakal memacu transformasi pertanian moden, keterjaminan makanan dan pembangunan wilayah luar bandar.

UPMS bukan lagi sekadar institusi pendidikan, tetapi simbol aspirasi negeri, harapan bagi lahirnya generasi tani baharu serta bukti bahawa ilmu yang berakar di tengah rakyat mampu menjulang Sarawak ke masa depan yang mandiri dan berdaya saing.

Sepintas UPMKB (1974–2021); UPMKB kini berkembang menjadi kampus berwibawa dan nadi pendidikan tinggi di Sarawak

- Advertisement -

spot_img

RAKAN Sarawak, more than a bulletin - SUBSCRIBE NOW!

spot_img

- Advertisement -