spot_img
HomeNationalBerita dari PutrajayaPindaan Akta Koperasi Berkuat kuasa Mulai 1 Mac 2021

Pindaan Akta Koperasi Berkuat kuasa Mulai 1 Mac 2021

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada 1 Mac 2021 telah mengumumkan pindaan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) kepada Akta Koperasi (Pindaan) 2021 (A1634) mula dikuatkuasakan pada 1 Mac 2021. Akta A1634 ini akan terpakai bagi semua koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Pindaan ini melibatkan sembilan (9) peruntukan dalam Akta 502.

Pindaan kepada Akta 502 ini telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 17 Disember 2020 dan Dewan Negara pada 29 Disember 2020. Akta A1634 ini juga telah mendapat perkenan Diraja pada 26 Januari 2021 serta telah diwartakan pada 2 Februari 2021.

Pindaan yang dibuat itu selaras dengan polisi Kerajaan semasa supaya operasi perniagaan koperasi pada masa ini lebih mudah dan memastikan koperasi yang didaftarkan adalah berkualiti.  Ini secara tidak langsung sektor koperasi dilihat sebagai instrumen utama untuk melonjakkan keusahawanan dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan rendah atau B40.

Kerajaan menyasarkan sumbangan perolehan koperasi kepada ekonomi Negara berjumlah RM100 bilion menjelang 2030.

Penubuhan koperasi keluarga memudahkan ahlinya berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan

Antara pindaan utama yang dibuat adalah berkaitan syarat-syarat bagi pendaftaran koperasi asas yang telah dipermudahkan di mana bilangan individu bagi tujuan pendaftaran, telah dikurangkan daripada 50 orang kepada 20 orang sahaja.

Hal ini sangat bertepatan dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan golongan B40 terutamanya, menceburi aktiviti perniagaan melalui koperasi di samping dapat memasyarakatkan gerakan koperasi berdasarkan kumpulan sasar seperti golongan belia, wanita, komuniti, mahupun masyarakat peribumi seperti orang asli.

Selain itu, pindaan yang dibuat ini turut membenarkan atau memudahkan lagi koperasi untuk menerima pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia dan koperasi yang ditentukan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tanpa perlu mendapatkan kelulusan SKM terlebih dahulu seperti mana sebelum ini.

Dengan pindaan yang dibuat ini, diharap ia dapat membantu koperasi berdepan cabaran ekonomi baharu terutamanya dalam situasi pendemik COVID-19 ini.

Ia juga diharap dapat mendorong masyarakat untuk memilih bidang keusahawanan sebagai pilihan alternatif dalam menjana semula pendapatan yang terjejas sebelum ini.

Kerajaan melalui MEDAC juga akan terus komited dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik, kondusif dan mapan bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi Negara yang seimbang.

- Advertisement -

spot_img

RAKAN Sarawak, more than a bulletin - SUBSCRIBE NOW!

spot_img

- Advertisement -