Masalah kutipan cukai taksiran untuk pihak berkuasa tempatan di Malaysia mencecah jumlah yang agak besar. Berdasarkan kajian awal tahun 2000, jumlah mencecah 60 bilion dan di Sarawak sahaja jumlah mencecah 100 juta.
Keadaan ini sudah pastinya menganggu kelancaran projek pembangunan di sesebuah kawasan pentadbiran perbandaran, sebab wang daripada cukai taksiran inilah yang akan digunakan untuk perkhidmatan kutipan sampah, penyelenggaraan lampu dan jalan dan sebagainya.
Fasilitator Kumpulan Sirius Prime, Puan Monica Lenya dari Majlis Bandaraya Miri (MBM) bersama Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) mengambil inisiatif dan tanggungjawab ini untuk menyelesaikan masalah kutipan cukai taksiran tertunggak dengan memanfaatkan sepenuhnya projek KIK mereka Kesukaran Mengutip Tunggakan Cukai Taksiran Tahunan

Menurut Puan Monica, ini disebabkan sikap sambil lewa dan kurang faham para pembayar cukai di samping keterbatasan kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka.
Beliau berpuas hati disebabkan melalui projek ini kutipan pada tahun lepas (2023) mencecah lebih 90 % manakala pada tahun ini (2024) setakat awal Disember 2024 mencecah 90.7 %. Tunggakan juga semakin menurun iaitu 55%
Malah kutipan cukai taksiran di MBM antara yang tertinggi di kalangan pihak berkuasa tempatan di Malaysia setakat ini.

Melalui projek KIK ini, mereka berjaya melaksanakan langkah -langkah yang dulu mungkin agak sukar dilaksanakan ataupun menjadi pilihan terakhir untuk dilaksanakan.
Tempoh projek KIK mereka bermula pada tahun 2018 dan tarikh penyeragamannya adalah 23 Januari 2024.
Kaedah yang digunakan adalah kaedah pengutipan tunggakan cukai taksiran melalui kaedah garnishing proceeding ataupun dengan bahasa mudah menggunakan kaedah dan tindakan mahkamah
Menurut Puan Monica, tindakan mahkamah di dapati amat berkesan sebab selama ini mereka telah mencuba mengutip cukai taksiran tetapi cuma sampai setakat tindakan mahkamah sahaja ataupun penghakiman sahaja.
Beliau menganggap MBM telah mengorak langkah berani dengan sebab setelah membentangkan salah satu inisiatif (Prosedur Garnishee), Jawatankuasa MBM bersetuju dan mengesyorkan menggunakan salah satu daripada undang-undang yang ada.
Rasionalnya adalah, peningkatan tunggakan akan meningkat setiap tahun dan sesuatu perlu dilakukan untuk menanganinya.
Langkah itu diambil, bukanlah bermaksud langkah yang ada sekarang tidak bagus, tetapi kurang berkesan.
Ini jelasnya, bila keputusan daftar sampai ke mahkamah sahaja, dengan adanya (inisiatif ini), kita boleh menggunakan kaedah Garnishee ini sehingga boleh membekukan akaun bank.
Setakat ini, pihak MBM telah bekerjasama dengan 34 pihak termasuk bank dan unit amanah untuk melaksanakan arahan Garnishee ini termasuk di pihak individu dan syarikat.

Kita sudah mulakan, tindakan ini dalam 2 tahun kebelakangan ini, dan ada pembayar cukai yang sudah mula menghubungi kami (MBM) disebabkan akaun mereka telah “dibekukan” oleh tindakan mahkamah daripada MBM.
Jelas Puan Monica, itu adalah “pilihan terakhir” sekiranya mereka masih lagi “liat” untuk membayar cukai taksiran.
Menurutnya, setiap tahun tarikh akhir bayaran adalah pada 31 Mei dan 31 Oktober setiap tahun untuk bayaran separuh pertama dan kedua tahun.
Apabila tamat sahaja, tarikh ini, notis peringatan akan dikeluarkan mengingatkan pembayar cukai bahawa terdapat tunggakan. Kemudian ada notis peringatan ke dua dan berikutnya.
Sekiranya, masih belum dibayar, kita akan mengeluarkan surat tuntutan (letter of demand). Diberi tempoh tertentu, sekiranya masih belum bayar lagi kita akan senaraikan nama untuk kelulusan dalam mesyuarat
Kita akan senaraikan untuk tindakan undang-undang, jadi bila tindakan undang-undang dilaksanakan akan berbalik kepada surat tuntutan tadi.
Di sinilah mereka akan membaca surat saman (panggilan) untuk hadir bagi penghakiman.
Sekiranya pembayaran masih tidak dilakukan dan tidak menghiraukan surat panggilan, kita tiada pilihan tetapi terpaksa menghantar nama-nama ini ke pihak mahkamah untuk tindakan susulan (proses Garnishee).
Jelas Puan Monica, tindakan Garnishee ini adalah pilihan terakhir dan boleh dikatakan tempoh masa yang agak lama diberikan boleh mencecahkan sehingga ke 9 bulan, daripada notis pertama dikeluarkan sehinggalah proses Garnishee
Apabila akaun mereka disekat, mereka akan menghubungi bank dan bank akan memaklumkan terhadap arahan mahkamah daripada MBM. Mahu tidak mahu, pembayar cukai terpaksa berhubung dengan pihak MBM dan menyelesaikan hutang dan tunggakan cukai taksiran mereka.
Seboleh mungkin, MBM jelas Puan Monica ingin mengelak daripada berlakunya proses Garnishee yang akan menyebabkan pembayar cukai menanggung kos berganda daripada kos mahkamah itu nanti.
Perlu diingat, itu adalah pilihan dan langkah terakhir setelah banyak peluang dan kesedaran telah diberikan melalui program jerayawarya (roadshow) pengurangan cukai taksiran (untuk golongan yang kurang berkemampuan dan daif) dan pembayaran secara beransur-ansur.


Walaupun menghadapi tentangan daripada pihak pembayar cukai pada awalnya, tetapi tanggungjawab ini perlu dilaksanakan disebabkan tanpa cukai ini sukar untuk pihak berkuasa tempatan untuk meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembangunan di kawasan seliaan mereka.
Impak daripada projek ini boleh dilihat daripada hasil kutipan ini boleh disalurkan kepada rakyat seperti perkhidmatan pungutan sampah, penyediaan lampu jalan, penyelenggaraan jalan dan sebagainya untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat
Pada masa yang sama, impak kepada MBM ialah penjimatan masa untuk mengurus tunggakan cukai taksiran dan paling penting boleh mengesan pembayar cukai walaupun di mana mereka berada (mereka tetap akan mencari MBM), tidak seperti sebelum (adanya pendekatan Garnishee) sampai ke peringkat kehakiman (kes tergantung) sebab pembayar cukai tidak dapat dikesan.
Pendekatan ini turut memberikan MBM lebih masa memfokuskan masa untuk merancang pembangunan serta melaksanakan penambahbaikan dalam perkhidmatan mereka kepada pembayar cukai
Pencapaian terbesar projek ini apabila telah di bawa ke Mesyuarat Pegawai-pegawai Penilaian Seluruh Sarawak dan telah mula diguna pakai di Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA)
Ia turut menarik minat pihak berkuasa tempatan dari luar Sarawak seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Perbandaran Melaka.
Projek ini telah meraih kejayaan terbesar di luar negara termasuk Anugerah Prime Gold di International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) di Jakarta selain pengiktirafan peringkat Kebangsaan dan peringkat Sarawak
Info Tambahan
- Di Bandar Raya Miri, terdapat kira-kira 73,000 hartanah kediaman, komersial dan perindustrian yang layak membayar kadar taksiran, dengan perumahan kediaman melebihi 50 peratus berbanding yang lain
- Tarikh akhir pembayaran cukai taksiran mesti dibuat pada atau sebelum pada Mei dan 31 Oktober setiap tahun bagi mengelakkan penalti sebanyak satu peratus sebulan ke atas jumlah tertunggak
- MBM telah memperkenalkan beberapa pilihan pembayaran yang mudah untuk orang ramai iaitu aplikasi SPay Global, Service Sarawak dan Paybills Malaysia.
- MBM sentiasa menggalakkan pilihan dalam talian termasuklah mendaftar untuk e-bil untuk menerima bil penilaian mereka melalui e-mel menyediakan cara yang cepat, selamat dan cekap untuk memenuhi kewajipan anda tanpa perlu melawat pejabat majlis
- Setakat ini 64 peratus daripada jumlah hartanah di bandar raya Miri telah melanggan e-bil MBM,







