Fokus pada Produk Tanaman Makanan, Komoditi & Akuakultur

Masyarakat di Bahagian Serian, khususnya di Tebedu memanfaatkan sepenuhnya sektor pertanian dengan memberi fokus kepada produk makanan dan komoditi.
Permintaan yang tinggi menyebabkan hasil pertanian mereka lebih banyak disalurkan ke pasaran setempat, termasuk Serian dan Bahagian Kuching, tanpa sempat menembusi pasaran yang lebih luas.
Demikian menurut Pegawai Pertanian Bahagian Serian, Encik Willie Peter ketika ditanya RAKAN Sarawak mengenai penglibatan masyarakat serta sumbangan dalam sektor pertanian.

Kebanyakan petani, menurut Encik Willie sudah tertumpu kepada dua jenis tanaman seperti tanaman makanan seperti durian dan tanaman komoditi seperti Kelapa Sawit dan Lada sebab permintaannya dan harganya yang tinggi.
Mengambil contoh, pengusaha tanaman durian di Daerah Tebedu (di Kampung Temong Putah, Tebedu) iaitu Encik Polok anak Laken yang memiliki 300 pokok durian pelbagai varieti tempatan yang ditanam dalam keluasan tanah empat (4) hektar.

Begitu juga tanaman nanas di Kampung Sorak Melayu Serian, yang diusahakan Syarikat Evergreen Plantation dengan keluasan 40 hektar.
Bagi penanaman padi, Kampung Mujat merupakan kawasan baharu dikenal pasti dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi di Sarawak berskala besar dengan keluasan 80 hektar.

Jelas Encik Willie, ada beberapa lagi tanaman lain yang giat diusahakan di Serian seperti tanaman jambu batu (Kampung Ampungan) dan tebu (Kampung Entubuh).
Bagi tanaman Komoditi yang juga merupakan tanaman utama di Bahagian Serian iaitu Kelapa sawit tanaman lada, di dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), jumlah keluasan projek yang diluluskan dan dibantu adalah seluas 800 Hektar (Kelapa Sawit) dan 104 Hektar (Tanaman Lada).
Selain itu, jelas Encik Willie Bahagian Serian aktif dalam industri perikanan darat yang terhasil daripada keberkesanan sistem tagang di sini. Sistem Tagang adalah usaha untuk mengawal ekosistem ikan asal dalam tempoh tertentu di 10 buah kampung terpilih.

Sepuluh (10) lokasi Sistem Tagang terpilih tersebut termasuklah di Kampung Terbat, Kampung Tema, Kampung Munggu Kopi, Kampung Bunan , Kampung Peraya, Kampung Mang, Kampung Sira, Kampung Pesang, Kampung Simpok, Kampung Serumah.
Setakat ini, Sistem Tagang Kampung Terbat antaranya yang terbesar, Projek Sistem Tagang Berjaya dan Mendapat Anugerah Platinum (Smart Komuniti 2019) Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.
Bagi penternakan Ikan Empurau menggunakan Kolam Konkrit & Kolam PE, antara pengusaha yang berjaya seperti Puan Puri Johan dari Kampung Taee, Serian dan Encik Chang Su Kiang daru Kampung Triboh.

Manakala penternakan ikan tilapia (secara komersial) pula diusahakan oleh Borneo Aquaculture, Tarat, Sarafish Sdn. Bhd – Kampung Cina Buntak, Bedup, Serian, Encik Charles anak Dandu – Kampung Ranchan, Serian dan Thian Yen Aquaculture, Tarat (Ternakan Udang Kara).
Dari pengeluaran hasil untuk sistem akuakultur pula iaitu Kolam, Sangkar dan tangki, purata pengeluaran hasil adalah lebih dari 15 Tan dalam sebulan. Antara sepsis utama yang diternak ialah Baong, Betutu, Keli, Lampam Jawa, Lee Koh, Patin, Tilapia Merah, Jelawat, Udang Kara, Semah dan Empurau.
Selain itu, Secara keseluruhan dan purata hasil tangkapan Umum (Sungai) untuk Ikan dan Udang di Bahagian serian adalah lebih 3,000 Kg sebulan. Spesies- spesies utama ialah Udang Galah, Tengadak, Tapah, Semah, lajong, Keli Sungai, keli akar, haruan, Buing, Betutu, Biawan, Pipi Merah, Baung dan Banta.
Pada perkara berkaitan, mengenai program Serian AgroFest, beliau selaku jawatankuasa penganjur menyifatkan ia bukan hanya sekadar menyediakan platform perkongsian maklumat dan memperkenalkan program pertanian tetapi juga memperkenalkan teknologi baharu bersesuaian dengan tema Sarawak Agrofest (SAF) 2025 “Mengindustri Sektor Agro Melalui Teknologi Pintar”.
Melalui teknologi pintar juga, dapat meningkatkan produktiviti dan membolehkan petani mengoptimumkan penggunaan sumber seperti air, baja dan racun perosak.
Manakala automasi dan jentera pintar pula mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja selain meningkatkan kecekapan operasi.
Pada akhirnya, pengeluaran pertanian dapat ditingkatkan secara berkesan dan kita dapat memenuhi permintaan dan memperluaskan pasaran yang sedia ada.

Info Tambahan
- Sektor pertanian merupakan penyumbang keempat terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK Sarawak) selepas sektor perkhidmatan, pembuatan, dan perlombongan dan kuari. Pada tahun 2023, sektor ini menyumbang 10.6% atau sekitar RM15 bilion kepada KDNK negeri.
- Subsektor tanaman mendominasi sektor pertanian dengan sumbangan sebanyak 82.1%, diikuti oleh subsektor perhutanan dan pembalakan (9.2%), subsektor ternakan (4.8%), dan subsektor perikanan (3.9%).
- Sarawak juga merupakan penyumbang kedua terbesar kepada sektor pertanian di Malaysia, selepas Johor dengan sumbangan sebanyak 14.9%.







